Sunday, 30 August 2015

Karangan Jenis Cerita (Permulaan Diberi) : "Ketika aku sedang tekun menoreh getah, tiba-tiba..." (2)

Model Karangan:

          Ketika aku sedang tekun menoreh getah, tiba-tiba aku terdengar bunyi berdesis berhampiran tempatku berdiri. Aku berasa sungguh gelisah dan gementar. Namun, aku masih meneruskan kerjaku yang hanya tinggal sedikit lagi untuk disiapkan.

          Tiba-tiba, aku merasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhati diriku. Aku berasa gelisah tidak menentu. Aku berasa gelisah tidak menentu. Aku pun menoleh ke belakang. Alangkah terperanjatnya aku apabila melihat seekor ular tedung sedang mengembangkan kepalanya untuk mematukku.

          Aku tidak tahu apa yang harus kulakukan. Aku tidak berani bergerak kerana aku tahu jika aku bergerak, pastinya ular itu akan menyerangku. Aku mungkin mati akibat patukannya yang berbisa itu. Dalam pada itu, aku masih juga mencari akal untuk menyelamatkan diriku.

          Semasa aku diam sambil berfikir itu, tiba-tiba kudengar bunyi dahan pokok getah jatuh berhampiran tempatku berdiri. Ular itu terkejut lalu menjalar pergi dari situ. Alangkah leganya rasa hatiku. Aku bersyukur, aku selamat.

          Tanpa membuang masa, aku pun meneruskan tugasku yang tinggal sedikit itu. Pada masa yang sama, aku masih berdebar-debar dan sentiasa berhati-hati kalau-kalau ular itu masih berada di situ. Setelah tugasku selesai, aku pun segera pulang ke rumah.

          Aku menceritakan pengalamanku itu kepada bapa dan ibuku. Mereka berjanji tidak akan membenarkan aku menoreh getah seorang diri lagi. Namun aku akan tetap menjalankan tugas yang telah diserahkan kepadaku.

No comments:

Post a Comment