Model Karangan:
Malam itu cuaca agak terang. Bulan mengambang di awan. Aku berjalan seorang diri menuju ke rumahku. Aku baru pulang dari kedai kerana membeli gula untuk ibuku.
Semasa aku berjalan-jalan, tiba-tiba aku terasa angin bertiup lembut. Dari kejauhan, terdengar bunyi salakan anjing yang memanjang. Aku tidak menghiraukan keadaan itu. Aku cuba bernyangi-nyangi kecil untuk menghangatkan suasana yang mulai dingin.
Untuk tiba ke rumahku, aku perlu melalui sebuah rumah usang yang menurut cerita teman-temanku, berhantu. Aku tidak pernah mempercayai kata-kata mereka itu kerana sepanjang aku melalui kawasan rumah itu, aku tidak pernah terjumpa apa-apa. Aku mahu dikenali sebagai anak jantan dan tidak takut menghadapi sebarang cabaran.
Sebaik-baik sahaja aku melintasi rumah usang tersebut hujan turun dengan lebatnya. Aku agak hairan kerana cuaca yang tadinya baik, tiba-tiba hujan. Mahu tak mahu, aku terpaksa berteduh di rumah usang itu. Sebaik-baik sahaja aku melangkahkan kaki di hadapan rumah itu, tiba-tiba pintu hadapan rumah itu terbuka dengan sendirinya. Aku agak terkejut, namun aku mencuba memberanikan diriku.
Apabila aku melihat ke arah pintu tersebut, aku terlihat suatu lembaga yang sungguh hodoh melembai-lambai ke arahku. Kakiku menjadi kaku. Lembaga itu kian menghampiriku. Taringnya sungguh panjang. Kakinya tidak menjejak bumi. Dia seakan-akan hendak mencekikku. Aku pun menjerit sekuat-kuat hatiku.
Peluhku mengalir keluar dengan banyak. Tiba-tiba, aku terdengar namaku dipanggil berulang-ulang kali. Aku pun membuka mata. Barulah aku sedar rupa-rupanya aku hanya bermimpi.
hi
ReplyDelete